Suami hilang tanpa khabar... ~ Jom Baca

Friday, August 7, 2015

Suami hilang tanpa khabar...

LUMUT- Seorang isteri dari Kampung Padang Tembak, di sini, masih setia menanti kepulangan suami yang sepi tanpa khabar berita sejak tiga tahun lalu.

Normala Shuib, 47,  dan tiga anaknya ternanti-nanti kepulangan Hamidon Mat Noh, 50, yang dikatakan bekerja di Johor namun sehingga kini telah hilang jejak.



Menurutnya, suaminya yang juga bekas anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) di Tanjung Sedili, Johor, gagal dikesan dan tidak pulang ke rumah sejak 2013 malah usaha mengesan suaminya itu gagal berikutan tidak mempunyai maklumat tepat mengenai lelaki berkenaan yang kini didakwa masih berada di Johor.

“Kami telah terputus hubungan dengannya sejak 2013 yang lalu dan sehingga kini masih ternanti-nanti panggilan darinya.

“Pelbagai usaha juga telah kami lakukan untuk mencarinya namun masih tidak dapat dikesan kedudukan sebenarnya,” katanya.

Katanya, anak-anak juga begitu merindui  ayah mereka dan sering bertanya keadaannya kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Jika dahulu anak bongsu saya sering membawa baju dan kain pelikat milik ayahnya kerana terlalu merindui namun kini dia hanya menyebut-nyebut sahaja.

“Begitu juga anak-anak yang lain sering bertanya bagaimana agaknya keadaan ayah, sihat ke atau bagaimana kerana kami terlalu merinduinya,” katanya.

Katanya, jika dahulu dia sering mendapat ucapan sempena hari lahirnya namun sejak tiga tahun lalu tidak ada lagi panggilan berkenaan untuknya.

“Hari lahir saya pada 20 April dan apabila tiba hari lahir sahaja pasti saya akan mendapat panggilan ucapan hari lahir daripadanya, kini tiada lagi.

“Baru-baru ini juga sambutan ulang tahun perkahwinan kami yang ke 23 pada 4 Ogos lalu namun saya hanya mampu berdoa sahaja semoga suami akan terbuka hati untuk pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya sendiri tidak tahu apa kesalahan kami sehingga suami tidak pulang dan gagal dikesan sehingga sekarang,” katanya.

Normala berkata, kepulangan suaminya itu amat dinantikan memandangkan anak sulung mereka bakal berkahwin  Disember depan.

“Jadi anak saya memerlukan wali untuk melangsungkan perkahwinannya pada Disember ini dan amat berharap sesiapa yang mengetahui keberadaan suami saya supaya dapat menghubungi saya di talian 017-4717964.

“Kami sekeluarga amat menantikan kepulangannya  dan segala salah silapnya kami sedia untuk memaafkan,” katanya.--Sinarharian

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Categories

Blog Archive