Pengunjung lari bertempiaran selamatkan diri ~ Jom Baca

Saturday, August 8, 2015

Pengunjung lari bertempiaran selamatkan diri

ALOR SETAR - Pengunjung karnival Hari Peladang Penternak dan Nelayan Negeri Kedah bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas ribut dan angin kuat menerbangkan lapan buah khemah di Taman Jubli Emas petang tadi.
   
Kejadian pada pukul 4.15 petang itu menerbangkan khemah yang menempatkan haiwan seperti rusa dan ayam eksotik serta gerai jualan produk pertanian dan makanan.

    

Ahmad Samsudin Ibrahim, 45, berkata ketika itu beliau sedang melayan pengunjung yang melawat gerai pameran rusa milik Semeliang Agrofarm Padang Terap.
 
"Angin ribut terus mengangkat khemah yang kemudiannya tersangkut pada pokok di hadapan khemah itu. Ketika itu saya turut berpaut pada tiang kandang rusa untuk menyelamatkan diri. Pada masa yang sama saya melihat ramai orang bertempiaran lari untuk selamatkan diri," katanya yang bertugas sebagai penjaga rusa.
 
Pemilik ayam eksotik, Ishak Yahya, 50, berkata beliau terpaksa membawa balik lebih 50 ekor ayamnya bagi mengelak ayam-ayamnya mengalami masalah kesihatan akibat kesejukan terkena air hujan.

"Buat masa sekarang saya hanya menggunakan kain kanvas bagi mengelak ayam saya daripada terkena air hujan. Saya harap pihak urusetia dapat bina semula khemah yang rosak dengan segera," katanya.
   
Sementara itu Exco Pertanian dan Asas Tani Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memasang semula khemah yang diterbangkan ribut.
   
Beliau berkata kejadian tersebut tidak akan menjejaskan aktiviti karnival yang bakal berakhir esok dan peladang yang mengambil bahagian boleh meneruskan pameran mereka.
 
"Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan kepada pengunjung dan tidak mendatangkan kerugian besar kepada peladang yang mengambil bahagian," katanya.
   
Karnival bermula 5 Ogos lepas. - Bernama--Sinarharian

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Categories

Blog Archive